Saturday 14 January 2012

PEMBUANGAN BAYI: MENCARI PUNCA DAN JALAN PENYELESAIAN


PEMBUANGAN BAYI: MENCARI PUNCA DAN JALAN PENYELESAIAN



Membuang bayi adalah cara yang paling mudah dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan dan hamil. Bagi kebanyakan kes, perempuan yang dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di atas perbuatan tersebut.

Isu pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di Malaysia malah di merata tempat. Di Brunei, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan kematian seorang bayi dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi berkenaan mati kelemasan. Di Indonesia, seorang penduduk Bekasi melihat benda berwarna kuning disyaki bayi terapung-apung di tepi sungai. Di China pula seorang bapa membuang anaknya yang berusia setahun ke dalam sungai kerana menyangka anaknya itu mati setelah tidak sedarkan diri kerana sakit perut. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan berumur 19 tahun, Krystal Johnson dituduh membunuh setelah membuang bayinya ke kawasan yang kotor.

Di Malaysia, gejala ini terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun 1999, sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat kepada 97 kes. Peningkatan bilangan kes ini memerlukan langkah-langkah penyelesaian dari akar umbi punca tersebut.

Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?

Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.

Pelaku membuang bayinya di tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran tersebut.

Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah” memberi pendedahan betapa punca sebenar terletak pada keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.

Masalah akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu masalah yang wujud sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah, capaian yang mudah terhadap bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang sering kali diperkatakan. Namun, jarang kita membuat analisis terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada proses sosialisasi.

Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana untuk bertingkah laku. Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan kumpulan rakan sebaya. Nilai-nilai dipelajari dan dinyatakan melalui perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju tindakan terakhir yang boleh dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul atau salah.

Nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat akan mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana fungsi nilai ialah mengehadkan ruang dan peluang untuk konflik daripada merebak dan mengganggu sistem nilai, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di dalam masyarakat moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di bandar-bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai yang tidak menyumbang kepada kemajuan.

Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.

Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat.

Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang “Safe Haven” ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. Salah satu daripadanya ialah www.robynsnest.com/.

Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?

Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan hukuman sedia ada ini? 

Dipetik daripada:
http://zahirzainudin.blogspot.com/2007/03/pembuangan-bayi-mencari-punca-dan.html


Punca kepada Masalah Pembuangan Bayi adalah kerana Syariat Islam Tidak Diterapkan

Tidak sukar untuk memahami permasalahan isu pembuangan bayi ini; Kebanyakan bayi yang dibuang adalah anak zina. Anak zina lahir dari aktiviti perzinaan yang berlaku di antara lelaki dan perempuan. Perbuatan zina itu berlaku apabila lelaki dan perempuan yang bukan mahram terjebak dengan pergaulan bebas. Pergaulan bebas ini berlaku apabila individu yang terlibat memegang prinsip idea kebebasan dalam kehidupan sehingga mereka menganggap bercampur-gaul lelaki dan perempuan dibolehkan dengan pelbagai alasan berlandaskan akal semata-mata. Faktanya, pergaulan dan percampuran bebas ini dibenarkan oleh undang-undang negara. Jadi, kerana itulah negara yang sebenarnya merupakan punca utama idea kebebasan ini berkembang dengan suburnya.

Maka daripada rantaian di atas, kita dapat melihat bahawa kunci permasalahan adalah berpunca daripada negara. Namun, setiap kali isu sosial  muncul di dalam kehidupan masyarakat terutama yang melanda umat Islam pada hari ini maka yang hanya dipersalahkan adalah individu dan institusi keluarga. Negara dan perlembagaannya seolah-olah suci, bersih dan putih seperti kapas dan tidak boleh dipertikaikan apalagi hendak dipersalahkan. Para ulama dan cendekiawan langsung tidak pernah mengaitkan masaalah sosial dengan negara dan perlembagaannya, mengapa? Adakah mereka juga bersubahat di dalam mempertahankan sistem kehidupan hari ini yang menjadi punca kepada segala permasaalahan umat? Apabila negara pada hari ini menolak Islam sebagai suatu sistem yang mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara maka sudah pasti kita akan menghadapi 1001 macam masalah seperti mana yang berlaku pada hari ini. Apakah Mashitah tidak faham dengan firman-firman Allah SWT ini; 

”Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”[TMQ Al- Baqarah (2) : 85]. 

”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". 
[TMQ Taha (20) : 124]. 

”Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al-A’raaf (7) : 96]. 

”Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
 [TMQ Ar-Ruum (30) : 41].  

Allah SWT telah memberi jaminan bahawa apabila Islam diterapkan, sudah pasti ia akan memberi rahmat kepada sekalian alam. FirmanNya lagi;

”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.[TMQ Al-Anbiyaa’ (21) : 107].





Langkah-langkah yang Perlu Diambil oleh Ibu Bapa untuk Menangani Kes Pembuangan Bayi






Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.
Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.
Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.
Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih baik daripada mengubati”.
Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, “Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.
Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.


No comments:

Post a Comment